LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PORT DICKSON, 5 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan seorang tekong bot bersama tujuh orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba di seludup masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan di perairan Pulau Perjudi, Port Dickson pada lewat malam.

Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berkata, pihaknya telah menahan tekong bot gentian kaca dan PATI tersebut dalam operasi yang dijalankan kira-kira 11.00 malam.

Seorang tekong bot dan tujuh orang (PATI) warga Indonesia ditahan. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 15 hingga 46 tahun.

“Tangkapan ini merupakan hasil operasi khas selepas kami menerima maklumat terdapatnya pergerakan bot yang mencurigakan dari perairan Indonesia ke perairan Sungai Sekawang, Pasir Panjang, Port Dickson.

Pihak kami telah membuat pencarian dan telah menghampiri sebuah bot pancung gentian kaca namun bot tersebut telah memecut laju. Aksi kejar-mengejar selama 10 minit akhirnya membuahkan hasil apabila pihak kami berjaya memintas dan menahan bot tersebut di posisi lebih kurang 0.6 Batu Nautika dari Selatan Pulau Perjudi, Port Dickson,” katanya.

Kesemua yang ditahan akan di siasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Beliau juga berkata, pada tahun 2019 ini Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah berjaya membuat tangkapan sebanyak 10 kes di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

 
IMG-20190305-WA0001

Sumber:

Unit Komunikasi dan Korporat Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan