LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

SANDAKAN, 5 MAC- Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) bukanlah satu masalah yang baru. Pelbagai usaha dilakukan bagi membanteras aktiviti haram ini. Baru-baru ini seramai 22 orang termasuk pendatang asing tanpa izin terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke negara asal mereka kerana disyaki cuba dibawa keluar oleh sebuah bot nelayan tempatan dari Sandakan menuju ke Filipina 5 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Pluto Timur telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 0.1 batu nautika barat Pulau Berhala.

“Hasil pemeriksaan lanjut pada jam 10.15 malam, mendapati bot tersebut dinaiki 22 orang terdiri daripada 14 Lelaki berumur 3 hingga 65 tahun dan lapan perempuan berumur 1 hingga 63 tahun dikatakan bersiap sedia untuk belayar menuju ke negara jiran namun tindakan pantas anggota Maritim Malaysia berjaya menyekat kegiatan mereka.

Enam daripada yang ditahan merupakan warganegara, dua daripadanya memiliki sijil lahir, satu IMM13 (pas lawatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia) manakala 13 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.” Katanya ketika ditemui pada sidang media sebentar tadi.

Menurutnya, lebih menyedihkan  seorang kanak-kanak  kelainan upaya (OKU) yang menghidapi penyakit sindrom down berumur 14 tahun turut dikesan berhimpit bersama-sama selain sesak dengan beg pakaian dan barang keperluan dipercayai milik mereka.

“Kami risau sekiranya terjadi apa-apa kejadian tidak diingini sehingga mengorbankan nyawa berikutan baru sahaja selesai melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa lemas dalam kejadian bot karam 28 Feb lalu," tambahnya.

Kesemua suspek serta bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

 

OP PLUTO TIMUR PATAHKAN SELUDUP KELUAR PATI 22 DITAHAN

OP PLUTO TIMUR PATAHKAN SELUDUP KELUAR PATI 22 DITAHAN 2