TOK BALI, 2 Januari – Seorang warga emas berusia 68 tahun dari Pulau Perhentian yang mengalami penyakit kritikal terpaksa dibawa menaiki bot Maritim Malaysia Negeri Kelantan dalam keadaan laut yang bergelora bagi mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Besut pada 11.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Klinik Kesihatan Pulau Perhentian yang meminta bantuan membawa seorang pesakit bernama Karim bin Harith dibawa ke hospital kerana pesakit mengalami fulminant hepatic failure yang menyebabkan hatinya gagal berfungsi. Beliau menjelaskan pihak klinik memaklumkan bahawa pesakit terbabit telah berjaya distabilkan oleh petugas klinik tetapi pesakit perlu dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan segera.

”Memandangkan keadaan pesakit yang kritikal, kami segera menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 untuk melaksanakan misi membawa pesakit ini, meskipun keadaan laut yang berombak setinggi tiga hingga empat meter,” jelas beliau.

”Bot Maritim Penyelamat 7 tiba di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan pada jam 2 petang dan pesakit yang ditemani oleh isteri beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya lagi.

IMG 6616 IMG 6617

Sumber :

Unit Perhungan Awam Maritim Negeri Kelantan