MELAKA TENGAH, 13 Dis – Bot Ronda Maritim Malaysia Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah berjaya menahan dua buah kapal korek pasir yang disyaki telah melakukan operasi pengorekan dan permindahan pasir laut di luar waktu yang ditetapkan dalam satu operasi di Perairan Selat Melaka, semalam.                          

Menurut Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud, Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan berkata, kapal korek pasir TERATAI 6777 dan CP 798 itu dikesan di posisi lebih kurang 4.3 dan 4.2 batu nautika Barat Laut Pantai Klebang, Melaka ketika dalam rondaan rutin operasi di sepanjang Perairan Selat Melaka.

”Ketika dikesan, kedua-dua kapal tersebut sedang melakukan operasi pengambilan pasir dan pemindahan pasir laut di luar waktu yang ditetapkan.” katanya dalam satu kenyataan disini.

Tambahnya, vesel korek pasir tersebut masing-masing mempunyai enam orang krew yang juga didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia. Kesemua krew bagi kedua-dua vesel tersebut merupakan warganegara China dan mempunyai dokumen yang lengkap.

Kes seterusnya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952. 

Sehingga hari ini pihak Maritim Malaysia Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah berjaya menyelesaikan 8 kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952 dan ini merupakan kes yang pertama disiasat di bawah Akta Pelantar Benua 1966.

Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia supaya memastikan kapal dan bot yang berada di perairan Negara terjamin dan mematuhi undang-undang. Pihak kami mengalu-alukan maklumat dan aduan berkaitan jenayah dan kesalahan maritim melalui talian hotline 06-3876730 yang beroperasi secara 24 jam.

IMG-20181213-WA0046  
IMG-20181213-WA0049  

Sumber:

Unit Komunikasi Korporat MN Melaka & Negeri Sembilan