LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 24 November – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C telah ditahan pada jarak lebih kurang 5 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang lebih kurang jam 5.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, hasil dari pemeriksaan, seorang tekong bersama tiga orang awak-awak warganegara Myanmar semuanya lelaki berumur lingkungan 23 hingga 36  tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.

"Bot tersebut bersama 3,000 kg (3 tan) hasil tangkapan ditahan dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk siasatan dan tindakan lanjut. Pihak kami memandang serius berkenaan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985  terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar Komuniti Maritim Pulau Pinang bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

Dalam kejadian berasingan, pada 23 November 2018 lebih kurang pukul 10.40 malam Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang menerima laporan bahawa terdapat seorang lelaki warga Kemboja telah jatuh laut dari bot pukat jerut berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung. Bot ronda Maritim Malaysia telah digerakkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa jatuh laut. Agensi kerajaan lain iaitu Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut bersama dalam operasi tersebut.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

 

003

Sumber :

Pegawai Perhubungan Awam MN Pulau Pinang