WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KUALA LINGGI, 21 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah berjaya membuat dua tangkapan dalam kes berasingan disini.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud, berkata dua-dua tangkapan telah dibuat berdasarkan maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat APMM Putrajaya, bagi kes pertama tangkapan dibuat sekitar lebih kurang jam 2.30 pagi semalam sejurus menerima maklumat sebuah bot berapung dalam keadaan mencurigakan di perairan Kampung Tengah dan pihaknya bergegas ke lokasi  bagi membuat pemantauan dan kelihatan sebuah bot sedang menurunkan sekumpulan orang di pesisir pantai bersebelahan Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI). Kelihatan juga tiga (3) buah kenderaan juga sedang menunggu dipercayai digunakan untuk mengambil dan menghantar PATI keluar/masuk Malaysia melalui pintu tidak sah.

Anggota Maritim Malaysia telah menyerbu untuk menahan bot tersebut namun gagal dan bot terus memecut laju ke arah laut, namun pihaknya berjaya menahan salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira berwarna biru tanpa pemandu yang telah berjaya melarikan diri.”

 

 

“Sekumpulan 32 orang PATI berjaya diberkas dan daripada angka itu seramai 30 orang lelaki warganegara Bangladesh disyaki baru mendarat ke perairan malaysia manakala 2 warganegara Indonesia termasuk seorang wanita yang ditahan merupakan penumpang menggunakan bot yang sama untuk pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah. Kesemua mereka ditahan berusia antara 20 hingga 59 tahun.” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi kes kedua, Amran berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 1 pagi di perairan Kuala Linggi di sini pagi tadi (21.10.2018). Pihaknya menerima maklumat dua buah bot berapung dalam keadaan mencurigakan di perairan Kg Telok Kuala Linggi dan telah melakukan serbuan keatasnya menyebabkan bot telah bertindak terus memecut laju setelah mendaratkan pendatang asing tanpa izin tersebut kawasan dan seramai 16 orang warganegara Indonesia termasuk 5 wanita telah berjaya ditahan dan kesemuanya berumur antara 18 hingga 52 tahun. Turut berjaya ditahan juga dua buah kenderaan jenis Proton Wira biru dan Proton Waja kelabu masing-masing tanpa pemandu yang berjaya melarikan diri dan disyaki digunakan sebagai kenderaan menguruskan pergerakan PATI disini.

 

“Hasil dari siasatan awal yang dijalankan bagi kedua-dua kes ini, pihak kami percaya, pencerobohan masuk keluar PATI melalui jalan yang tidak sah di negara ini didalangi sindiket warga tempatan dan juga warga asing yang sudah lama tinggal di negara ini.” Katanya.

 

Kesemua PATI yang ditahan akan disiasat  mengikut Akta Antipemerdagangan Orang & Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui pintu masuk/ keluar yang tidak diwartakan.

Sehingga hari ini pihak Maritim Malaysia Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah berjaya menyelesaikan 6 kes yang berkaitan dengan kesalahan seumpama ini.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan sebagai usaha mengurangi jenayah di Zon Maritim Malaysia. APMM juga turut berharap orang ramai dapat menjadi mata dan telinga supaya kegiatan ini dapat dibenteras. Sebarang maklumat mengenai jenayah dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian Hotline APMM Negeri Sembilan/Melaka di talian 06-3876730 yang beroperasi secara 24 jam.

48 PATI 48 PATI 2
48 PATI 3 48 PATI 4

 

Sumber:

Staf Perhubungan Awam Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan