LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PULAU PINANG, 11 September - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mencari seorang lelaki berbangsa India yang berusia dalam lingkungan 40 tahun yang dipercayai telah terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) telah menemui hasil apabila mayatnya telah ditemui lebih kurang dua kilometer dari Pantai Pulau Tempoyak, semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut lebih kurang jam 11.50 malam, 10 September lalu.

"Sejurus laporan kecemasan diterima, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) terus dilaksanakan dan lebih kurang jam 12.50 petang, mayat mangsa telah ditemui oleh Pasukan Penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang yang turut serta dalam pencarian tersebut", katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahannya, mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pihak Hospital Balik Pulau bagi bedah siasat.

"Operasi ini telah melibatkan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin Pulau Pinang", katanya lagi.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

 

499a7057-62e4-496c-9894-852d401674b9