WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA KINABALU, 18 JUN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam  lebih kurang 78 batu nautika dari Pulau Balambangan, Kudat, semalam.

Dalam operasi OP Pagar Laut, Kapal Peronda Pesisir Pantai Maritim Malaysia, Kapal Maritim Arau (KM Arau) berjaya mengesan dan menahan sebuah bot nelayan asing dengan nombor pendaftaran BD-97612-TS yang sedang melarikan diri ke sempadan negara selepas menyedari kehadiran KM Arau sekitar jam 9.30 pagi.

Pemeriksaan mendapati seorang tekong dan empat orang awak-awak warganegara Vietnam tanpa dokumen pengenalan diri, berumur lingkungan 24 hingga 53 tahun berada di atas bot tersebut.

Pegawai Memerintah KM Arau, Kepten Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, bot tersebut ditahan kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran yang sah.

" Bot dan lima org kru warga Vietnam serta hasil ikan pelbagai jenis dianggarkan seberat 450 kilogram dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut. Beberapa peralatan menangkap ikan dan sotong turut di rampas", katanya dalam kenyataan media disini, hari ini.

Tambahannya, kes disiasat bawah akta Perikanan 1985, Seksyen 15(1)(a) kerana melakukan kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dengan tekong boleh didenda tidak melebihi 1 juta ringgit dan 100,000 ringgit bagi setiap awak-awak.

Sehingga kini, Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah melakukan 45 pemeriksaan dan tiga tangkapan sejak OP Pagar Laut di lancarkan, dimana KM Arau telah berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam.

Terdahulu, ketika dihubungi Pengarah Maritim Negeri Sabah Dan W.P Labuan, Laksamana Muda Maritim Dato'. Mohd Zubil bin Mat Som menyatakan, pihak Maritim Malaysia akan meneruskan operasi mengesan dan menahan bot nelayan asing yang menceroboh perairan perikanan Malaysia dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan hasil negara walaupun dalam kesibukan menyambut perayaan Aidilfitri ini.

Beliau juga menyatakan, Maritim Malaysia akan meneruskan penugasan operasi meskipun tempoh penugasan OP Pagar Laut 1/2018 tamat dua minggu selepas perayaan dan juga mengingatkan kepada pengusaha bot pelancong serta bot penumpang untuk mematuhi segala aspek keselamatan. Disamping itu Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemeriksaan agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di sepanjang musim perayaan.

Jelasnya lagi rondaan dan pemantauan berterusan di perairan negara dari masa kesemasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim akan di pergiatkan. Justeru itu, kerjasama dari masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salahlaku yang berlaku di perairan negara di talian kecemasan MERS 999 atau 08-387845 (Pusat Operasi) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

 

d88776d3-5eea-47a3-93d6-f22b4dd25e24 IMG 2954

Sumber/Foto : Staf Perhubungan Awam Maritim Malaysia Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan