LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KANGAR, 24 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan seludup masuk dadah jenis methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu seberat 401 kilogram dengan nilai harga pasaran semasa sebanyak RM 29 juta di perairan Negeri Perlis berhampiran sempadan Malaysia - Thailand.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato' Sri Zulkifili bin Abu Bakar berkata, rampasan berjaya dilakukan sekitar jam 2.25 pagi pada 23 Mei 2018 oleh aset bot Maritim Malaysia kelas Kilat menerusi rondaan Op Pagar Laut yang telah bermula pada 1 Ramadan yang lalu. Op Pagar Laut secara rasminya dilancarkan semalam di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

"Semasa rondaan dijalankan, bot kilat telah mengesan sebuah contact melalui radar bot yang didapati bergerak dalam keadaan yang mencurigakan. Kru bot telah bertindak menuju ke arah bot yang disyaki untuk membuat pemantauan dengan lebih dekat. Kru bot turut menggunakan alat pandang malam atau night vision binocular, ekoran keadaan penglihatan yang agak gelap, yang menyukarkan pengesanan dibuat dengan mata kasar pada ketika itu."

"Sebaik sahaja mengesan bot yang disyaki, bot kilat telah cuba untuk mendekati bot berkenaan untuk melakukan pemeriksaan. Walau bagaimanapun, ia terus dipecut laju bagi tujuan melarikan diri ke arah perairan negara jiran. Bot kilat telah mengejar bot tersebut. Semasa adegan mengejar berlaku, didapati terdapat 3 orang suspek berada dalam bot berkenaan. Suspek telah bertindak membuang beberapa objek daripada bot mereka ke laut, dan ini merupakan taktik bagi menghapuskan bukti-bukti perlakuan jenayah."

"Sebaik sahaja bot tersebut memasuki perairan negara jiran, usaha mengejar terpaksa dihentikan. Seterusnya, bot kilat telah bergerak kembali ke lokasi objek yang telah dibuang. Pemeriksaan yang dibuat mendapati terdapat sebanyak 8 beg kesemuanya."

Katanya, "kru bot kilat telah mengambil kesemua beg yang berada di permukaan air dan menjalankan pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah beg mendapati ianya mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu. Kesemua beg kemudiannya dibawa oleh anggota bot kilat ke pangkalan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut."

Laksamana Maritim Dato' Sri Zulkifili bin Abu Bakar menyifatkan perlakuan ini merupakan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah untuk membawa masuk barang terlarang dengan menggunakan bot atau sampan yang dilengkapi dengan sebuah enjin sangkut atau out board motor (obm). Tambah beliau lagi, "kita juga percaya, kes ini mempunyai kaitan dengan sindikit pengedaran dadah antarabangsa yang bergiat aktif di sempadan negara. Dadah yang dibawa masuk ini dipercayai untuk diedarkan dalam pasaran tempatan. Jumlah tersebut juga (401kg), dianggarkan dapat menampung permintaan lebih kurang 157,000 orang penagih dalam tempoh masa 2 minggu. Untuk rekod, kejayaan rampasan yang dilakukan Maritim Malaysia ini merupakan rampasan dadah terbesar melibatkan dadah jenis methamphetamine di dalam negara setakat ini. Kes akan disiasat di bawah akta dadah berbahaya 1952."

Beliau turut menyatakan bahawa Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan perairan Negara sentiasa selamat dan bebas daripada daripada aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang Negara. Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa di seluruh perairan Negara dan dengan adanya Op Pagar Laut, ianya akan memberi fokus terhadap kegiatan penyeludupan dadah seperti ini memandangkan menjelang musim perayaan ianya merupakan musim penjenayah bergiat aktif. Ini juga termasuk pergerakan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan keluar masuk barang-barang kawalan.

33303260 1692470784178163 5130281780158398464 o 33447571 1692338370858071 1100028857802555392 n 

Sumber/Foto:

Staf Unit Komunikasi Korporat