LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KLANG, 14 MAC – Degil dan cuba melarikan diri. Begitulah tindakan sekumpulan lelaki warga Myanmar apabila cuba ditahan Maritim Malaysia Selangor dalam kejadian pada jam 4.04 petang semalam, dalam jarak lebih kurang 1.2 batu nautika dari Sungai Besar.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki bin Hj Mohammad berkata, hasil maklumat awam yang diterima, bot peronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi yang dipercayai lubuk pemasangan bubu naga tersebut lantas berjaya mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai sedang leka menurunkan bubu naga.

“Kami mempercayai bahawa pergerakan aset kami telah berjaya dihidu oleh pihak-pihak yang melakukan kegiatan berkenaan namun pihak kami berjaya mengesan sebuah bot yang dinaiki oleh tiga orang warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan antara 26 hingga 27 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bubu naga telah digunakan dan ketiga-tiga mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka kemudiannya ditahan bersama 80 unit bubu naga yang disyaki dibeli dengan harga RM70 untuk satu unit bubu naga sepanjang lebih kurang 9 ke 10 meter.

 Bot tersebut kemudiannya diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kuala Selangor bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan serta mengendalikan peralatan penangkapan ikan jenis bubu naga di samping tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

            Penggunaan bubu naga tersebut telah banyak menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai kerana mata pukat bubu naga jauh lebih kecil hingga mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah masuk ke perangkap jaring terbabit. Hal ini mnyebabkan habitat marin terjejas dan menyebabkan hasil laut semakin berkurangan. Nelayan pesisir pantai juga terpaksa menangung risiko jaring koyak akibat aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga.

 

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor. Di samping itu, Maritim Malaysia berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia.

 

IMG 7322 IMG 7337
IMG-20180314-WA0015