WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

Tawau, 24 November - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 18 Tawau telah berjaya menahan dua buah bot nelayan pukat tunda tempatan berdaftar kerana disyaki telah melanggar syarat lesen perikanan di perairan Tawau, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Daerah Maritim 18 Tawau Leftenan Komander Maritim Ahmad Firdaus bin Shaari berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab telah menahan bot nelayan pertama di Sungai Serudong, Tawau kira- kira pukul 11 pagi semalam ketika melakukan kerja- kerja menangkap ikan di dalam kawasan sungai. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang tekong dan dua awak- awak lelaki warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 16 hingga 30 tahun. Seorang daripada awak- awak bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Tambahnya lagi, sebuah lagi bot nelayan pukat tunda tempatan telah berjaya ditahan dan diperiksa kira- kira pukul 1.45 petang oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia sekitar perairan Sungai Gagasak, Tawau. Bot nelayan berkenaan telah disyaki melakukan kesalahan yang sama iaitu melakukan kerja- kerja menarik pukat tunda di dalam kawasan sungai. Terdapat seorang tekong dan awak- awak lelaki warganegara Indonesia berumur 36 dan 57 tahun berada dalam bot berkenaan. Namun, awak- awak bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa oleh anggota Maritim Malaysia.

Menurut beliau, kedua- dua bot nelayan itu bersama dua tekong dan tiga awak- awak warganegara asing itu telah diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau di sini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas- tugas penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Tawau tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang perairan Malaysia dari semasa ke semasa.

Orang ramai juga diharap dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115," katanya.

bot nelayan tempatan2 bot nelayan tempatan1

Sumber/ Foto :

Staf Unit Perhubungan Awam

Daerah Maritim 18 Tawau