WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA KINABALU, 4 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) telah menahan empat bot pukat tunda yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada tiga batu nautika dari kawasan darat di perairan Papar dan perairan Tuaran, semalam.


Bot Ronda Maritim yang sedang melaksanakan Operasi Khas telah mengesan empat bot nelayan pukat tunda dalam keadaan yang mencurigakan sekitar jam 11.00 malam hingga 11.50 malam. Hasil pemeriksaan bot nelayan tersebut mendapati terdapat 20 orang kru termasuk tekong. Kesemua mereka dalam lingkungan umur 23 hingga 53 tahun terdiri daripada seorang warganegara tempatan, tiga warga Filipina dan 16 warga Indonesia.

Pengarah Maritim Daerah, Laksamana Pertama Maritim Adam bin Hj Aziz berkata "keempat-empat bot tersebut ditahan kerana melanggar syarat sah lesen dibawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada tiga batu nautika daripada kawasan darat. Semua awak-awak dan bot serta hasil ikan sebanyak 270kg diiringi masuk ke jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Tambahnya lagi "semua pengusaha bot nelayan haruslah mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat sah lesen. Saya juga mengingatkan agar semua pengusaha bot tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengakibatkan sumber ikan pupus dan kian berkurangan".

Keresahan nelayan pantai di kawasan Papar dan Tuaran khususnya dapat diredakan sedikit sebanyak dengan tangkapan yang dibuat semalam dan operasi sebegini akan diteruskan bagi mengekang bot-bot tunda yang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang 3 batu dari kawasan darat ini terus bermaharajalela. Maritim Malaysia juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang mengambil peluang untuk menceroboh kawasan zon menangkap ikan atau kesalahan lain yang menyalahi syarat sah lesen.

 

df366185-aa02-463f-8b83-640daecc15dd a07bcde4-71af-4084-a6a7-528e50a78546

Sumber/Foto : Staf Perhubungan Awam