WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

LANGKAWI, 22 September – Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah menerima satu panggilan kecemasan mengenai kejadian sebuah bot persendirian telah karam di lokasi lebih kurang 1.8 batu nautika dari Pulau Jemurok berhampiran Teluk Ewa awal pagi tadi.

Pada jam 9.30 malam semalam, Maritim Malaysia telah menerima maklumat dari Encik Khairul Hafiz Harun, 33 yang juga berada di dalam bot malang itu mengenai kejadian tersebut. Beliau beserta 4 orang lagi mangsa menyedari air masuk ke dalam bot dengan begitu laju. Semasa mereka ingin melakukan pusingan untuk berpatah balik, bot mereka telah dipukul oleh ombak yang amat kuat. Akibat dari kebocoran itu, bot mereka telah tenggelam secara perlahan-lahan.

Dalam masa yang sama beliau juga telah menghubungi talian MERS 999 untuk meminta bantuan. Rentetan kejadian, Maritim Malaysia Langkawi (DM1 Langkawi) telah mengaktifkan “Search and Rescue” (SAR) pada jam 9.30 malam sejurus menerima panggilan dan bot peronda PETIR 81 diaturgerak ke tempat yang dilaporkan.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 (DM 1) Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Bin Zakariah berkata, “ketika Bot Maritim PETIR 81 berlepas menuju ke lokasi tersebut keadaan laut ketika itu amat bergelora beserta hujan lebat sedikit menyukar operasi SAR. Oleh yang demikian pihak kami telah berhubung serta menyalurkan maklumat kejadian kepada komuniti nelayan setempat dan Lafarge Cement Sdn Bhd yang terletak di Teluk Ewauntuk memberikan bantuan awal. Sebuah bot tunda milik syarikat tersebut telah digerakkan pada jam 10.15 malam ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat yang dibekalkan. Lebih kurang jam 12.15 tengah malam, Pusat Operasi (PUSOP) DM 1 telah menerima panggilan telefon dari persatuan nelayan setempat memaklumkan mereka telah berjaya mengambil kesemua mangsa dari bot yang karam.

Ketika ditemui kesemua mangsa dalam keadaan mengigil kesejukkan dan tidak bermaya. Setibanya PETIR 81 di tempat kejadian, mangsa telah dipindahkan ke dalam PETIR 81 seterusnya dibawa ke jeti DM 1 untuk rawatan lanjut”. Beliau juga ingin menasihatkan komuniti maritim di Langkawi agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di laut. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan kadang kala bertukar menjadi ribut ketika ini, mereka hendaklah sentiasa peka kepada keadaan sekeliling semasa berada di laut sama ada ingin meneruskan aktiviti atau berpatah balik ke jeti atau berlindung di kawasan tertentu.

Maritim Malaysia juga bersedia sebilang masa untuk membantu komuniti maritim yang berada di dalam keadaan kecemasan di laut. Jika berlaku sebarang kejadian boleh hubungi terus melalui talian MERS 999 atau 04-9662750 (Pusat Operasi DM 1 LANGKAWI). SAR telah ditamatkan pada jam 3.30 pagi.

 

 

SAR_22092017.JPG SAR_22092017_1.JPG

Sumber:

LK I (M) Aliff Aiman bin Mohd Jeffry

Staf Unit Perhubungan Awam DM 1 Langkawi