WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI , 8 Ogos -  Kapal Ronda Maritim Malaysia, KM Pekan berjaya menahan dua bot nelayan tempatan bersama 18 nelayan warga Vietnam disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding lebih kurang 43 batu nautika dari Kuala Tanjung Sedili pagi semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kepten Maritim Haji Amran bin Haji Daud berkata, bot yang bernombor pendaftaran KNF 7960 telah ditahan pada jam 6.57 pagi, manakala KNF 7959 pula pada jam 7.33 pagi.

"Semasa kejadian, satu daripada bot tersebut seperti cuba melarikan diri dari pemeriksaan namun berjaya dipintas dan ditahan," katanya menerusi kenyataan di sini,

Jelasnya, hasil siasatan lanjut, pihaknya mendapati bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan menunda kurang 12 batu nautika dari pantai Pulau Aur dan tiga awak-awak tidak mempunyai permit kerja yang sah. Kes ini akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985.

Menurutnya lagi, nelayan pukat tunda menggunakan pukat yang ditarik oleh sebuah atau beberapa buah bot yang mengaut masuk berbagai jenis ikan tanpa mengira saiz dan memusnahkan dasar laut. Ini menyebabkan pupusnya sumber-sumber perikanan negara dan mengancam mata pencarian nelayan pantai.

Tambahannya, pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan lebih kurang 4000 kg ikan campur.

"Kedua-dua tekong dan kesemua awak-awak yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 56 tahun itu ditahan dan bot tersebut dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Sedili untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut," jelasnya lagi.

20746712 1776196469076977 1049645164 o edit

Sumber:

Staf Unit Perhubungan Awam DM7