WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KLANG, 13 JULAI – Sekumpulan geng penyeludup rokok terpaksa berputih mata apabila cubaan menyeludup rokok putih ke negara ini dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Daerah Maritim 4 Selangor  (DM4) pada malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki bin Hj Mohammad berkata, bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan telah menerima maklumat awam mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Indonesia. Seterusnya bot tersebut diekori oleh bot Maritim Malaysia sehinggalah ia mendarat di pesisir pantai Sungai Bagan Tengkorak sebelum ianya ditahan bersama sebuah lori yang sudah sedia menunggu. Kira-kira seramai 10 orang suspek termasuk tekong dan awak-awak bot melarikan diri setelah anggota Maritim Malaysia memperkenalkan diri sebagai anggota penguatkuasa.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 4050 karton rokok putih jenama U2 sedang dipunggah ke dalam sebuah lori. Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dan sebuah lori kemudiannya diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan kastam. Nilai rampasan rokok dianggarkan bernilai RM 231,336.00 dan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 361,336.00 termasuk sebuah bot, empat buah enjin OBM dan sebuah lori.

Maritim Malaysia telah berjaya merampas rokok dengan nilai keseluruhan RM 1,244,688.24 termasuk bot dan enjin sepanjang tahun 2016. Pemantauan dan operasi di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lorong tikus akan terus ditingkatkan bagi menghalang sebarang penyeludupan berlaku. Disamping itu, Maritim Malaysia berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia.

sidang media