WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KUANTAN, 10 APRIL - Kapal ronda Maritim Malaysia, KM PEKAN dalam Operasi Khas di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) telah berjaya mengesan dan menahan sebuah bot nelayan asing dengan nombor pendaftaran KG93647TS yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan lebih kurang 27 batu nautika dari timur Pulau Tioman, Pahang.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong dan 17 awak-awak dipercayai warganegara Vietnam telah disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah. Kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba memberi suapan kepada Pegawai memerintah KM PEKAN supaya dilepaskan semasa ditahan.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Timur, Kepten Maritim V. Pannir Selvan a/l Veloo, “Operasi Khas” ini dilaksanakan setelah menerima aduan daripada nelayan tempatan yang memaklumkan ada melihat bot nelayan asing sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di sekitar perairan tersebut. Selain itu, operasi khas ini juga bertujuan untuk membenteras aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing dan nelayan tempatan yang menggunakan pukat tunda ganding. Ini kerana, penggunaan pukat tunda ganding telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia.

Tambah beliau lagi, ini merupakan tangkapan ke 7 (tujuh) melibatkan bot nelayan asing bagi tahun ini di perairan Negeri Pahang. Hasil pemeriksaan mendapati, hasil sotong lebih kurang 500kg, ikan pelbagai saiz 200kg dan ikan baja 50kg.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa masuk jeti APMM tanjung Sedili untuk disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta SPRM 2009.

1 2

Sumber: Unit Perhubungan Awam WILTIM