WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

TAWAU 07 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau (DM 18) telah berjaya menahan seorang juragan tempatan di perairan Tawau awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten (M) Romli bin Hj. Mustafa berkata hasil risikan awal yang diperolehi telah membawa kejayaan penahanan sebuah bot jenis fiber yang disyaki menyeludup masuk kain batik dan losyen yang dianggarkan bernilai RM23,520.00 tanpa sebarang dokumen yang sah.

Juragan yang berada di atas bot itu enggan memberikan kerjasama dan bertindak cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak Maritim Malaysia. Namun, selepas lebih kurang 10 minit bot tersebut berjaya dipintas oleh bot peronda pihak Maritim Malaysia pada jam lebih kurang 04.13 pagi tadi di perairan Tawau.

Pemerikasaan selanjutnya mendapati terdapat seorang juragan lelaki tempatan berusia 20 tahun dalam bot jenis fiber itu yang turut membawa muatan kain batik jenama 'Amanda' dan 'Doa Ibu' berjumlah 1200 helai serta losyen jenama 'Vienna' berjumlah 240 botol. Kesemua barang yang dirampas itu disyaki untuk diseludup masuk ke Daerah Tawau daripada Sungai Hj Kuning, Pulau Sebatik Indonesia untuk dipasarkan di daerah ini.

Juragan dan kesemua barang yang dirampas telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tawau seterusnya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat DM 18 Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952.

Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas- tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Perairan Tawau dan sebarang kejadian semasa berada di laut boleh dilaporkan dengan menghubungi terus di talian MERS 999 atau di talian 089-752115 Pusat Operasi Maritim Tawau.

IMG-20170407-WA0035 - Copy - Copy Picture2 - Copy

 

Sumber / Foto : Staf Unit Perhubungan Awam Daerah Maritim Tawau