WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

Kota Tinggi , 11 Mac–  Majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) Peringkat Daerah Maritim Tanjung Sedili yang diadakan di Padang Awam, Tanjung Sedili telah dirasmikan oleh Pengarah Maritim Wilayah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Maritim Selatan, YBhg. Laksamana  Pertama Maritim Dato’ Hj Adon Bin Hj. Shalan.

Dengan Kekuatan Seramai 125 Orang yang dipilih dari Daerah Kota Tinggi dan Mersing telah menjalani ujian fizikal pada 26 Febuari lalu di Pejabat Daerah Maritim Tanjung Sedili ialah warga awam yang menyahut cabaran Menyertai Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia Ini.

Penubuhan PSSMM di seluruh Malaysia ini adalah daripada cetusan idea Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim yang juga merupakan menteri yang bertanggungjawab kepada Maritim Malaysia yang sentiasa ingin melihat Maritim Malaysia maju ke hadapan dan beliau sentiasa memberi sokongan padu kepada agensi untuk berkembang sebagai sebuah agensi penguatkuasaan maritim yang berkesan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, latihan-latihan dan pendedahan seperti perbarisan, ceramah, renang dan selam, menyelamat, pengendalian dan penyelenggaraan kapal/bot, rondaan dan pemeriksaan kapal dagang di laut akan sentiasa diberikan bagi meningkatkan nilai tambah individu dalam memastikan Maritim Malaysia dapat melahirkan anggota PSSMM yang efisien dan terlatih.

Penubuhan Pasukan Sukarelawan ini akan memberi pendedahan kepada orang awam tentang sebahagian aktiviti, latihan dan tugas-tugas Maritim Malaysia dan sebagai warga awam yang memberi perkhidmatan kepada Maritim Malaysia, pendedahan seperti ini akan meningkatkan kefahaman tentang tugas sebenar agensi ini, seterusnya akan mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara Komuniti Maritim dengan Maritim Malaysia.

Ia juga sebagai sumber tenaga membantu anggota tetap sewaktu diperlukan dalam mengawal perairan negara dari segala bentuk ancaman dan tugas mencari dan menyelamat disamping  juga mengawal hasil sumber maritim dari dicerobohi oleh anasir-anasir yang ingin mengaut keuntungan ekonomi dan kekayaan negara.

Tambahnya lagi, ini adalah strategik serampang dua mata dapat digunakan dengan menjadikan komuniti maritim sebagai “mata dan telinga” kepada Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat dalam usaha Maritim Malaysia menangani isu keselamatan di perairan negara termasuk ancaman pengganas, pendatang tanpa izin, pelarian, lanun dan jenayah maritim rentas sempadan.

Ianya juga sebagai membuktikan sebilangan besar rakyat prihatin terhadap keselamatan negara kita dan sanggup tampil ke hadapan untuk turut serta menyumbang bakti kepada tanah air tercinta ini dengan menyertai pasukan sukarelawan.

Sejajar perancangan tersebut, pengwujudan PSSMM amat penting bagi menyokong serta menambah kekuatan sumber manusia dalam tugas-tugas penguatkuasaan maritim dan tugas mencari dan menyelamat.

Di akhir ucapannya, beliau mengucapkan tahniah buat semua yang telah menyahut seruan menyertai PSSMM dan seterusnya memberi khidmat dengan penuh ikhlas dan berintegriti.

“Tanggungjawab memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan selamat bukan hanya terletak di bahu anggota Maritim Malaysia sahaja, ianya memerlukan gandingan mantap daripada semua golongan sama ada pihak kerajaan, swasta serta seluruh masyarakat tanpa mengira usia, keturunan, agama dan fahaman politik.’ katanya.

 

pssmm
pssmm2

Sumber:
Staf Unit Perhubungan Awam DM7 Tanjung Sedili