WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI 2 Feb – Kapal Hua Xiang 801 ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) setelah didapati berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Pengerang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang, semalam, kapal berkenaan dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut sebelum menemui kapal tersebut sedang bersauh di kedudukan lebih kurang 2.8 batu nautika selatan Tanjung Setapa dekat sini.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud berkata, pihaknya telah menghampiri kapal tersebut untuk membuat pemeriksaan dan didapati ia melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh.

”Kapal yang didaftarkan di Zhua Shan,China membawa 12 orang anak kapal warganegara China berusia 23 hingga 53 tahun telah dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Tambahannya, kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Malaysia dan jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya lagi, pada tahun 2016 Maritim Malaysia Tanjung Sedili berjaya menyelesaikan 32 kes seumpama ini manakala bagi permulaan tahun 2017 adalah kes yang pertama.

"Kita akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal-kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mereka mematuhi undang-undang Malaysia," katanya.

IMG 2211

Sumber :

Staf Perhubungan Awam DM 7