WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

KLANG, 1 Feb Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),  Daerah Maritim 4 Klang telah berjaya menahan 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) kesemuanya dalam dua kes yang berasingan yang disyaki cubaan masuk ke negara ini di perairan Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Mohd Rosli bin Abdullah berkata, hasil maklumat risikan, pada jam lebih kurang 9.15 pagi bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pelabuhan Klang telah berjaya mengesan dan menahan sebuah bot penumpang yang membawa penumpang kira-kira 0.9 batu nautika dari Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati bot penumpang tersebut mempunyai dokumen lengkap untuk membawa penumpang. Pemeriksaan lanjut turut mendapati seramai 3 orang penumpang di atas bot tersebut disyaki sebagai warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri  berumur lingkungan 27 hingga 61 tahun,” katanya.

“Manakala dalam kes berasingan, pada jam lebih kurang 11.15 pagi turut mengesan dan menahan sebuah feri penumpang di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika juga dari Pulau Ketam Klang, Selangor. Hasil pemeriksaan yang dilakukan feri tersebut mempunyai dokumen dan seterusnya mendapati seramai 20 orang penumpang di atas bot tersebut disyaki warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berumur lingkungan 21 hingga 50 tahun,” jelasnya lagi.

Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan diiringi ke Jeti Daerah Maritim 4 Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk bagi membantu siasatan di bawah seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah dan bot penumpang tersebut dilepaskan.

Maritim Malaysia akan meneruskan lagi operasi bagi membendung dan membanteras PATI yang menggunakan laluan laut yang dilarang untuk keluar dan masuk ke Malaysia. Aktiviti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang bahkan berisiko tinggi sehingga nyawa dipertaruhkan dengan membuat bayaran kepada tekong-tekong haram yang sememangnya tidak bertanggungjawab.

 

 

WhatsApp Image 2017-02-01 at 18.10.38 WhatsApp Image 2017-02-01 at 18.10.40

Sumber:

Staf Perhubungan Awam DM4 Klang