20
Sat, Apr

RAMPASAN 30 SET BUBU NAGA DI PERAIRAN PERAK

LUMUT, 28 Januari – Maritim Negeri Perak telah merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 2.2 batu nautika barat daya Pulau Talang, Perak kira-kira pukul 2.35 petang Jumaat baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bubu yang berukuran 10 meter panjang ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak ketika menyusuri kawasan terbabit dan melihat pancang kayu yang dipasang bendera diikat bersama pelampung mencurigakan di permukaan air disyaki bubu naga.

Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda bagi lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2 ribu itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Modus operandi bubu naga dipasang beroperasi pada kali ini adalah dengan diikat secara berangkai dan diletakkan pemberat pada kayu tersebut.

Penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa.

Walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

BUBU NAGA LUMUT
 
BUBU NAGA LUMUT 2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON