25
Thu, Apr

41 SET BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG

LUMUT, 18 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah merampas sebanyak 41 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 2.3 batu nautika barat daya Pulau Talang, Perak kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bubu yang berukuran 10 meter panjang ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak ketika menyusuri kawasan terbabit dan melihat pancang kayu yang dipasang bendera diikat bersama pelampung mencurigakan di permukaan air disyaki bubu naga.

Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. 

Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan  menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 18 at 12.20.46 AM   WhatsApp Image 2024 01 18 at 12.20.47 AM
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON