28
Thu, Mar

LANGGAR SYARAT LESEN DENGAN MENGGAJIKAN PATI, BOT NELAYAN B1 DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 2 Julai – Akibat gagal mengemukakan permit kerja yang sah atau sebarang dokumen kebenaran bekerja di atas bot, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot nelayan kelas B1 ketika sedang melakukan aktiviti perikanan di sekitar perairan Sungai Besar, lebih kurang pukul 10.45 pagi semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Shahrenliza bin Ghazali berkata, bot nelayan itu dikesan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam OP EHSAN dan OP MURNI pada kedudukan lebih kurang 9.8 batu nautika barat daya Sungai Besar dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot nelayan itu dikendalikan empat warga Myanmar berumur dalam lingkungan 31 hingga 45 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot nelayan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil soal siasat, difahamkan kesemua suspek telah dibayar gaji bulanan sebanyak seribu ringgit dengan komisyen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

Turut ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat ialah kira-kira 200 kilogram ikan campur.

Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

 MN SELANGOR
 
MN SELANGOR 2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON