25
Thu, Apr

OP TANJUNG | GAJIKAN PATI, BOT NELAYAN DITAHAN

GEORGETOWN, 30 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan sekitar jam 12.10 tengahari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 32.7 batu nautika barat laut Muka Head.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan lima warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 26 hingga 47 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

OP TANJUNG

 

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON