MEDEVAC | MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA MANGSA CEDERA DI PULAU PEMANGGIL

MERSING, 4 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) dengan membawa seorang mangsa yang cedera pada bahagian tangan di Pulau Pemanggil pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 31 yang sedang dalam rutin OP JAKSA diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada Ketua Kampung, Pulau Pemanggil.

Ujarnya lagi, walaupun dalam keadaan hujan lebat dan laut yang bergelora, bantuan MEDEVAC tersebut telah berjaya membawa mangsa, Rafa Bin Abu Niat, 63 yang cedera pada bahagian tangan ketika mengendalikan mesin canai dari Pulau Pemanggil ke Jeti Pos Maritim Malaysia, Teluk Gading pada pukul 11.30 pagi tadi.

Mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Mersing dalam keadaan baik dan selamat.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika Monsun Timur Laut berikutan fenomena air pasang besar yang diramalkan bermula pada 19 November hingga 31 Disember lalu yang amat merbahaya kepada semua aktiviti di persisir pantai dan juga lautan.

 

MEDEVAC MERSING   MEDEVAC MERSING 4   MEDEVAC MERSING 2