25
Thu, Apr

ZON MARITIM BINTULU | BOT NELAYAN ASING CEROBOH PERAIRAN SARAWAK DITAHAN

BINTULU, 23 APRIL – Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam kerana menceroboh perairan negara di kedudukan lebih kurang 80 batu nautika Barat Laut Tanjung Kidurong sekitar jam 8.32 pagi Ahad lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Iszuadi bin Mohamad Hassan berkata, sebelum penahanan dibuat aset Maritim Malaysia telah mengesan lebih kurang enam bot disyaki nelayan asing di kawasan terbabit.

Setelah menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, kesemua bot nelayan asing terbabit cuba melarikan diri.

Ketika adegan kejar-mengejar berlaku, salah satu bot nelayan asing berkenaan cuba menghalang aset Maritim Malaysia dengan cara melepaskan tali ke laut dari belakang bot mereka.

Setelah hampir lima jam mengejar bot nelayan asing itu, akhirnya bot suspek berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga kru termasuk tekong warga Vietnam dan dua kru warga Kemboja berada di atas bot tersebut.

Kesemua kru gagal mengemukakan dokumen berkaitan vesel dan kebenaran memasuki perairan negara daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Pada pemeriksaan yang sama, tiada muatan hasil laut ditemukan di atas bot terbabit namun terdapat peralatan menangkap ikan seperti pukat dan tali yang banyak di atas bot itu.

Bot itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran serta melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Kesemua kru dan bot nelayan asing disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta kepada pemilik bot atau tekong bot serta RM600 ribu bagi setiap kru bot jika disabitkan bersalah.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314254) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

 

BINTULU TANGKAP
 
BINTULU TANGKAP 2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON