29
Fri, Mar

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, DUA BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

KUANTAN, 14 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan dua buah bot nelayan tempatan Kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.

Kedua-dua bot berkenaan dikesan pada kedudukan 20 dan 22 batu nautika di utara perairan Kuala Kuantan pada petang Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris telah mengesan empat buah bot nelayan sedang melakukan aktiviti perikanan antara jarak lebih kurang satu batu nautika antara satu sama lain.

Pemeriksaan awal mendapati, dua buah bot nelayan tempatan ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan manakala dua buah bot lagi dilepaskan kerana tiada kesalahan dilakukan.

Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua mereka berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun dan lapan daripada 10 kru gagal mempamerkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sewaktu diperiksa.

Bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 215 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa PLKS.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim terutamanya nelayan di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

 

WhatsApp Image 2024 03 14 at 1.14.08 PM   WhatsApp Image 2024 03 14 at 1.14.09 PM 1   WhatsApp Image 2024 03 14 at 1.14.09 PM
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON