DUA BOT NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN NEGARA DITAHAN

PASIR PUTEH, 25 Februari – Maritim Negeri Kelantan telah menahan dua bot nelayan Vietnam pada kedudukan lebih kurang 126 hingga 128 batu nautika dari muara Tok Bali Khamis lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia – Vietnam dalam OP DAMAI, OP NAGA BARAT, OP IMAN dan OP TIRIS.

Kedua-dua bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pada jam 7.22 pagi sebelum bot pertama berjaya ditahan sekitar jam 8.39 pagi seterusnya diikuti penahanan ke atas bot kedua pada jam 9.27 pagi.

Kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila pasukan operasi Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot mereka.

Melihat keadaan yang berlarutan, Kapal Maritim Malaysia bertindak memintas bot itu dan melakukan 'force boarding' untuk menghentikan mereka.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua suspek yang ditahan ialah seramai 23 orang disyaki warga Vietnam berumur di antara 19 hingga 63 tahun.

Selain dua bot yang ditahan, tangkapan kali ini turut melibatkan rampasan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,000 liter dengan anggaran nilai hampir tiga juta ringgit.

Mereka yang ditahan disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Dua tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vessel ketika memasuki perairan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga enam juta ringgit kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 manakala bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa lebih 24 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan kira-kira pada jam 11.00 pagi (Jumaat, 23 Februari) sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

 

PATI KELANTAN 2   PATI KELANTAN 3   PATI KELANTAN 4