CARILAMAT | VESEL BOS AZLINA DITENGGELAMI AIR DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 15 Februari – Zon Maritim Bintulu telah menerima isyarat distress dari Vesel Bos Azlina di posisi sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Iszuadi bin Muhamad Hassan berkata, maklumat awal yang diterima aset maritim BOT KILAT 44 memaklumkan, vesel terbabit dilaporkan telah separuh ditenggelami air dan terdapat lapan kru termasuk master kesemuanya adalah lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun.

Semasa BOT KILAT 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu kira-kira pada pukul 11.56 pagi, aset Maritim itu telah menerima isyarat kecemasan melalui radio very high frequency (VHF) berkenaan insiden Vesel Bos Azlina yang hampir karam.

BOT KILAT 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu memaklumkan kejadian itu kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching.

Seterusnya BOT KILAT 44 bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan kepada vesel tersebut sejurus laporan dibuat.

Menurut kenyataan master vessel terlibat, beliau telah menghubungi teksi air (Kuda Laut 1) untuk menyelamatkan mereka.

Kesemua kru vesel selamat dikeluarkan pada sekitar pukul 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.

Keadaan tidak dapat dikawal setelah hampir kira-kira satu jam, vessel itu telah ditenggelami air sepenuhnya.

Punca kejadian masih lagi disiasat manakala ejen vesel telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

 

VESEL TENGGELAM 2   VESEL TENGGELAM 3   VESEL TENGGELAM 4