KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA HADIR ISTIADAT PENGEBUMIAN PEGAWAI PENGUAT KUASA MARITIM

ALOR SETAR, 12 Februari – Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin telah menghadiri istiadat pengebumian jenazah Allahyarham Kepten Maritim Mohd Sofian bin Yusof yang meninggal dunia pagi semalam.

Upacara pengebumian didahului dengan istiadat kawalan jenazah yang diketuai oleh Komander Maritim Ismail bin Hamzah yang melibatkan 26 orang pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Zon Maritim Kuala Kedah dan Zon Maritim Kuala Perlis.

Terdahulu, sesi bedah siasat jenazah Allahyarham telah dilaksanakan di Hospital Besar Pulau Pinang dan selesai pada pukul 6.30 petang semalam.

Jenazah telah dimandikan dan dikafankan di hospital dan seterusnya dibawa ke Masjid Arafah, Kampung Lana Bulu, Ayer Hitam, Kedah pada pukul 7.45 malam untuk disembahyangkan.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Azryna binti Abdullah dan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Istiadat ini bertujuan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Kepten (M) Mohd Sofian Bin Yusof.

Pemergian Allahyarham merupakan satu perkhabaran duka dan kehilangan besar buat seluruh warga kerja Maritim Malaysia.

Semoga segala bakti yang telah ditabur kepada Negara mendapat keberkatan dan seluruh warga Maritim Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah S.W.T. dan tergolong dikalangan mereka yang beriman.

Turut mengiringi ziarah kebajikan ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta beberapa lagi pegawai kanan dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Mengakhiri istiadat, Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah telah menyerahkan Ensign Maritim Malaysia kepada ibu kandung Allahyarham sebagai tanda peringatan dan penghargaan atas jasa bakti yang telah dicurahkan oleh Allahyarham kepada APMM.

 

ISTIADAT PENGEBUMIAN 2   ISTIADAT PENGEBUMIAN 3   ISTIADAT PENGEBUMIAN 4   ISTIADAT PENGEBUMIAN 5