RAMPASAN BENIH KERANG DI PERAIRAN SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 10 Februari – Maritim Negeri Selangor telah merampas kira-kira 20 kilogram benih kerang di jeti Kuala Selangor pada petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, rampasan dilakukan kira-kira pada jam 2.15 petang, ketika bot ronda Maritim Negeri Selangor melaksanakan OP EHSAN ,OP TIRIS 3.0 dan OP BLACK GOLD di sepanjang perairan Selangor.

Semasa rondaan dan pemantauan di perairan sungai Kuala Selangor, dua lelaki dalam keadaan yang mencurigakan bertindak melarikan diri serta meninggalkan dua guni di atas jeti apabila bot ronda cuba menghampiri mereka.

Hasil pemeriksaan mendapati dua guni itu berisi anggaran 20 kilogram benih kerang yang disyaki dicuri dalam anggaran nilai dua ribu ringgit.

Dua guni itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Perkara 4(3) di bawah peraturan–peraturan perikanan (pemulihan dan kultur kerang 2002) iaitu larangan terhadap mana-mana pihak yang mengambil sebarang benih spesies kerang dari lokasi habitat semulajadinya.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

 

BENIH KERANG SEL
 
BENIH KERANG SEL 2