ENAM INDIVIDU DI ANTARA 25 YANG DITAHAN POSITIF DADAH

KUDAT, 9 Februari – 25 individu enam daripadanya didapati positif dadah berjaya ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Maritim Malaysia melalui Zon Maritim Kudat bersama tiga agensi sahabat di Kudat, pada Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, Operasi berkenaan telah dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berdasarkan maklumat perisikan yang telah diperolehi sebelum ini.

Sekitar jam 8.00 pagi, pegawai dan anggota dari semua agensi yang terlibat diatur gerak ke kawasan persekitaran Jeti Nelayan Kudat dan pemeriksaan telah dilakukan oleh pasukan serbuan dari darat.

Sementara itu, tiga aset ronda Maritim Malaysia turut diatur gerak bagi melakukan pengawasan serta pemantauan dan seterusnya membuat pemeriksaan di kawasan perairan berhampiran.

Ketika pemeriksaan, terdapat beberapa individu yang bertindak terjun ke laut dan bersembunyi di antara ruang sempit bot-bot nelayan bagi mengelak daripada ditahan namun gagal kerana kehadiran anggota yang ramai serta bantuan pengawasan dan pemantauan aset ronda di laut memudahkan penahanan dibuat.

Hasil OP BERSEPADU itu, seramai 25 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, termasuk dua warga tempatan yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui saringan urin oleh pihak AADK.

Kesemua suspek ditahan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan Dadah.

Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam operasi ini dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan Zon Maritim Malaysia terutamanya di daerah Kudat sentiasa berada di tahap tertinggi.

 

1   3   5   4