GUNA DOKUMEN MERAGUKAN, LIMA PATI WARGA MYANMAR DITAHAN

ALOR SETAR, 13 Januari – Lima lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 6.6 batu nautika barat laut muara Kuala Kedah pada pukul 3.45 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot ronda, PERKASA 1226 sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati lima orang warga Myanmar hanya memiliki sekeping kad yang meragukan kerana kad terbabit tidak mempunyai data pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebatan tidak lebih dari enam kali, jika disabit kesalahan.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

 

PATI KEDAH