TIGA BOT NELAYAN BERSAMA ENAM NELAYAN WARGA MYANMAR DITAHAN

KUALA KURAU, 6 Januari – Zon Maritim Kuala Kurau menahan tiga bot nelayan tempatan kelas B bersama enam warga Myanmar kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika barat Kuala Sepetang, Perak pada petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, kesemua bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam operasi di perairan Kerian dan Larut Matang serta dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bot menemukan seramai enam nelayan warga Myanmar dan setiap bot mempunyai dua kru termasuk tekong.

Kesemua suspek berumur antara 24 hingga 35 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati kesemua bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran menggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran menggunaan kru warga asing.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

LANGGAR LESEN   LANGGAR LESEN 3   LANGGAR LESEN 4   LANGGAR LESEN 5