MARITIM NEGERI PERAK GAGALKAN CUBAAN MASUK PATI KE MALAYSIA

LUMUT, 29 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak telah berjaya menahan sebuah bot nelayan tradisional Indonesia tanpa nombor pendaftaran bersama lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam cubaan menyeludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan pada kedudukan sekitar 37 batu nautika barat daya Pulau Pangkor, Perak sekitar pukul 2.10 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bot itu dikesan oleh pasukan operasi KM RAWA ketika melakukan rondaan rutin menerusi OP SAYONG / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak.

Bot kayu yang mencurigakan itu berwarna coklat berjalur biru kemudian dirapati untuk pemeriksaan, Pasukan operasi kemudiannya mendapati terdapat empat lelaki dan seorang wanita termasuk tekong kesemuanya warga Indonesia berusia di antara 30 hingga 45 tahun berada dalam bot terbabit dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua PATI termasuk bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana melakukan aktiviti penyeludupan migran.

Dalam perkembangan lain, Maritim Negeri Perak merampas sebuah bot kayu berwarna biru berjalur merah tanpa nombor pendaftaran berserta barang-barang di muara Bagan Sungai Tiang, Perak kira-kira pada pagi hari yang sama.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali, setelah menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerusi aduan daripada orang ramai kepada pihak berkuasa mengenai sebuah bot disyaki membawa PATI ke negara jiran terdampar di tepi pantai muara Bagan Sungai Tiang, hasil maklumat itu bot ronda telah diatur gerak ke lokasi bagi menyerbu aset itu.

Setelah berjaya dikesan, pihak Maritim Malaysia merapat untuk pemeriksaan ke atas bot berkenaan dan mendapati kesemua suspek telah bertindak terjun meninggalkan bot itu serta barang-barang peribadi mereka lantas melarikan diri ke daratan.

Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa jenis beg baju dan barang-barang peribadi dipercayai milik PATI di geladak atas dan bawah bot.

Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Semua hasil rampasan dan bot diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 12 29 at 8.48.27 AM   WhatsApp Image 2023 12 29 at 8.48.27 AM 1   WhatsApp Image 2023 12 29 at 8.47.21 AM   WhatsApp Image 2023 12 29 at 8.47.22 AM