MARITIM MALAYSIA TIDAK KOMPROMI ISU PENYELUDUPAN PATI

PUTRAJAYA, 21 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan pihak agensi tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh atau membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau mana-mana kumpulan melalui perairan negara tanpa kebenaran yang sah.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya tegas dalam memastikan tiada sebarang aktiviti berkenaan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan perairan negara.

Beliau turut berkata, Maritim Malaysia komited mengekalkan keselamatan negara daripada ancaman terbabit dengan mengambil tindakan tegas serta terancang bagi memastikan keselamatan perairan negara dan kesejahteraan rakyat terjaga.

Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan khususnya di kawasan sempadan perairan negara selain memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk pihak berkuasa tempatan serta pihak berkuasa negara jiran untuk memantau dan mengawal pergerakan yang mencurigakan daripada memasuki ke Zon Maritim Malaysia.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2022, Maritim Malaysia telah berjaya menghalang 51 kes cubaan membawa masuk 413 PATI ke negara ini.

Manakala bermula Januari 2023 sehingga hujung minggu lalu, Maritim Malaysia telah berjaya mematahkan 74 kes cubaan membawa masuk seramai 277 PATI ke negara ini.

Berdasarkan kepada data berkenaan, jelas menunjukkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia berada pada tahap yang optimum dan terbaik dalam memastikan perairan negara selamat.

 

PATI APMM