25
Thu, Apr

MARITIM NEGERI KELANTAN | EMPAT BOT, 43 NELAYAN VIETNAM DITAHAN

PASIR PUTEH, 24 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menahan empat buah bot nelayan asing Vietnam pada kedudukan lebih kurang 125 hingga 150 batu nautika daripada muara Tok Bali Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah binti Baharin berkata, kesemua tangkapan dilakukan oleh Kapal Maritim Amanah (KM Amanah) yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam OP DAMAI, OP KHAS KUDA LAUT, OP NAGA BARAT dan OP TIRIS.

Bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8.18 pagi dan 9.01 pagi berkenaan.

Semasa mengiringi kedua-dua bot tahanan ke jeti tahanan, kapal penguat kuasa telah mengesan dua lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran. Kedua-dua bot ditahan sekitar pukul 2.32 petang dan 2.50 petang.

Kesemua bot tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila kapal penguat kuasa memberikan arahan untuk menghentikan bot.

Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

Setelah pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya menaiki bot, bot akhirnya mengalah dan akur untuk memberikan kerjasama.

Tiada sebarang tindakan agresif daripada keempat-empat bot yang ditahan.

Bot pertama mempunyai lima orang kru termasuk tekong, bot kedua mempunyai 17 orang kru termasuk tekong manakala bot ketiga dan keempat masing-masing mempunyai 16 dan lima orang kru termasuk tekong menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berjumlah 43 orang.

Kesemuanya disyaki warga Vietnam berumur di antara 16 hingga 61 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua bot yang ditahan merupakan bot nelayan asing Vietnam.

Berat keseluruhan hasil tangkapan dianggarkan berjumlah 6,000 kilogram.

Kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia

Tangkapan kali ini melibatkan 43 kru termasuk tekong, rampasan empat bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter dengan anggaran RM3.86 juta.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.  

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa lebih 30 jam apabila salah sebuah bot tahanan mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada pukul 4.00 pagi Jumaat untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.

Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.

 

KELANTAN BOT VIET 2
 
KELANTAN BOT VIET 4
 
KELANTAN BOT VIET 3
 
KELANTAN BOT VIET 5
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON