29
Fri, Mar

MARITIM MALAYSIA RAMPAS 53 UNIT BUBU NAGA DI PERAIRAN PERAK

KUALA KURAU, 1 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 53 unit bubu naga di kedudukan 7.4 batu nautika barat Pulau Sangga Besar, Perak pada sekitar jam 2.10 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pelampung yang mencurigakan disyaki penanda kepada bubu naga tersebut.

Hasil pemeriksaan ke atas pelampung itu telah menemukan sebanyak 53 unit bubu naga berada di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas sebanyak 45 unit bubu naga di dua lokasi berbeza di perairan Tanjung Piandang Perak pada jam sekitar 3.00 petang kelmarin.

Rampasan pertama telah dilakukan melibatkan sebanyak 20 unit bubu naga di kedudukan 1.25 batu nautika barat daya Tanjung Piandang dan selebihnya di 1.55 batu nautika barat daya perairan yang sama.

Anggaran jumlah nilai rampasan kesemua bubu naga ialah RM 6,860 dengan nilai RM 70 untuk setiap unit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

BUBU NAGA KURAU 2

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON