JOHOR BAHRU,  19 Okt – Sebuah kapal asing ditahan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Bahru, Wilayah Selatan di Perairan Tanjung Piai dekat pontian semalam kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran pihak berkuasa negara ini.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru, Kepten Maritim Aminuddin Abdul Rashid  berkata, kapal MT Pacific Onyx itu dikesan kira-kira jam 3.35 petang (19 Oktober 2013) ketika kapal peronda melakukan operasi di perairan Tanjung Piai, Pontian.

 Menurutnya, kapal itu dikesan pada kedudukan 2.6 batu nautika di tenggara Tanjung Piai dan ditahan untuk pemeriksaan setelah mendapati bersauh dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut bersauh tanpa kebenaran dan gagal membayar dius api. Tiga kru kapal dibawa ke Pejabat Daerah Maritim Johor Bahru, Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya.

 Kapal MT Pacific Onyx yang didaftarkan di Monrovia, Liberia  mempunyai 24 kru terdiri 13 warganegara Filipina, 7 warganegara India, 3 warganegara China dan seorang warganegara Ukraine.

Kapal itu boleh disabitkan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(I)  kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut dan Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu gagal menjelaskan dius api.

 MT Pacific 1 MT Pacific 2 

 

 Sumber : Staf Perhubungan Awam WILSEL

LK (M) Mohd Sahrunizam bin Mohamed Husin