20
Sat, Apr

LAKUKAN PELBAGAI KESALAHAN, SEBUAH BOT PUKAT JERUT BILIS DITAHAN

Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot pukat jerut bilis kerana melakukan pelbagai kesalahan di lokasi 0.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor baru-baru ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot itu dikesan pihak berkuasa ketika sedang leka menangkap ikan dalam rondaan rutin menerusi OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG / OP TIRIS dan OP KHAS PAGAR LAUT di perairan Perak.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan enam kru warga tempatan, tujuh kru warga Indonesia dan dua kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 20 hingga 69 tahun.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, Maritim Negeri Perak telah merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 0.1 batu nautika dari timur laut Pulau Talang, Perak sekitar pukul 9.55 malam Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob memaklumkan, bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG / OP TIRIS dan OP KHAS PAGAR LAUT.

Jelas beliau, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bubu naga ini dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Nilai rampasan bagi kedua-dua tangkapan ini dianggarkan bernilai lebih RM500 ribu.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

PUKAT JERUT LUMUT   PUKAT JERUT LUMUT 2   PUKAT JERUT LUMUT 4   PUKAT JERUT LUMUT 5

 

 

 

 

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON