OP EHSAN: KAPAL TANGKI DITAHAN ATAS DUA KESALAHAN

PELABUHAN KLANG, 14 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dan gagal memaklumkan ketibaan di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli bin Kassim berkata, penahanan kapal tangki ‘NISSOS TINOS’ ini berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP BENTENG LAUT dan OP EHSAN untuk diperiksa.

Kapal yang berdaftar di Marshall Islands itu membawa 24 kru lelaki termasuk nakhoda, berusia antara 18 hingga 60 tahun terdiri daripada warga Greece, Romania dan Filipina mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat.

Siasatan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 449 Ordinan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan.

Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Perairan Selangor. Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

rsz whatsapp image 2021 09 15 at 121523   rsz whatsapp image 2021 09 15 at 121523 1 2
     
rsz whatsapp image 2021 09 15 at 121524   rsz whatsapp image 2021 09 15 at 121524 1