OP CARILAMAT : TIGA NELAYAN DISYAKI HILANG DI PERAIRAN KUALA KUANTAN DITEMUI SELAMAT

KUANTAN, 9 September -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan tiga nelayan menaiki bot fiber tidak pulang ke jeti setelah keluar untuk memancing, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran bin Haji Daud berkata, sebaik menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub – Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi, segera diatur gerak untuk melaksanakan Operasi CARILAMAT.

Pengadu, isteri mangsa pemilik bot fiber tersebut berkata, suaminya Nordin bin Aziz, 63, sepatutnya pulang ke Jeti Nelayan Pantai Sepat sekitar jam 12.00 tengahari pada hari yang sama, namun tidak kelihatan sehingga malam.

Isteri mangsa juga memaklumkan, kebiasaannya suaminya keluar memancing di sekitar perairan Kuala Kuantan pada jarak kira-kira 8.5 batu nautika dari Muara Kuala Pahang.

Maklumat berkenaan kejadian ini turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan mangsa juga telah membuat pencarian awal.

Berdasarkan maklumat isteri mangsa, bot fiber bersama mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat oleh bot nelayan tempatan di sekitar lokasi yang dilaporkan.

Bot fiber tersebut dilaporkan mengalami kerosakan dan hanyut dibawa arus serta tiada liputan rangkaian telefon untuk melaporkan kejadian bagi mendapatkan bantuan.

Seterusnya, bot tersebut ditunda dan tiba di Jeti Nelayan Tanjung Lumpur pada jam 9.00 malam, semalam. Op CARILAMAT ditamatkan pada jam 10.00 malam.

Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi-agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut mahu pun ditimpa bencana.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

 0b134691 87b3 4aa5 a346 a270325d3d1c