RAMPAS 1100 MURAI KAMPUNG, CUBAAN SELUDUP GAGAL

KUALA LINGGI, 26 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan merampas sejumlah 1100 ekor burung Murai Kampung dalam satu serbuan ke atas cubaan menyeludup keluar ke negara jiran pada malam tadi di perairan pantai Alai, Melaka.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah bin Abdullah, berkata serbuan dilakukan berikutan aduan awam berkaitan aktiviti mencurigakan yang disyaki penyeludupan di persisir pantai Alai Melaka sekitar jam 9.15 malam tadi.

Berikutan itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi khas telah diatur gerak ke lokasi yang dinyatakan untuk mengesan dan menyerbu suspek. Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, sebuah bot disyaki penyeludup telah bertindak memecut laju dan menghilangkan diri ke kawasan lain yang cetek dan bersemak.

Hasil pemeriksaan di tepi pantai berbatu tersebut telah menemukan 55 buah raga berisi lebih kurang 1,100 ekor burung Murai Kampung ataupun nama saintifiknya Copsychus Saularis disyaki untuk di . Kesemua barang kes seterusnya dirampas dan akan disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM44,000.

Aktiviti penyeludupan burung ini dipercayai untuk dipasarkan di negara jiran yang mendapat permintaaan tinggi dan aktiviti ini disyaki didalangi sindiket warga tempatan.

 

IMG 20210826 WA0013   IMG 20210826 WA0005
 IMG 20210826 WA0010

 IMG 20210826 WA0007

 

Pegawai Unit Komunikasi Korporat 

Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan