BERSAUH TANPA KEBENARAN, BOT TUNDA TEMPATAN DITAHAN

 WhatsApp Image 2021 09 04 at 15.32.16

 

LABUAN, 5 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal tunda yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin bin Jusoh berkata, bot tunda itu ditahan oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan 2 batu nautika tenggara Tanjung Kubong pada jam 12.44 tengahari.

Pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh 8 kru warga tempatan dan Indonesia berumur antara 22 hingga 65 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Bot serta kesemua kru telah ditahan, dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut bagi kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Pengarah Zon Maritim Labuan juga mengingatkan supaya semua kapal yang bersauh di perairan negara untuk sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan atau terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang yang tegas oleh pihak Maritim Malaysia.

LT DYA (M) DILSA BIN AKMAD

Pegawai Perhubungan Awam 

Zon Maritim Labuan