SIARAN MEDIA DUA BOT KARAM DI PERAIRAN NEGERI SELANGOR

 
 WhatsApp Image 2020 10 09 at 9.00.21 AM
 
 
PELABUHAN KLANG, 9 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor telah mengkoordinasikan Operasi Mencari dan Menyelamat dalam dua kejadian berasingan yang melibatkan insiden bot karam di perairan Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, pada sekitar jam 4.00 petang semalam, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat bot nelayan tempatan Kelas C yang karam akibat dipukul ribut di kedudukan 23.08 batu nautika muara Kuala Selangor oleh Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) yang mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat.
Difahamkan terdapat lima kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit namun hanya dua kru sahaja sempat diselamatkan. Kesemua mereka adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.
Tambah Rosli, satu lagi insiden kejadian sebuah bot fiber karam pada jarak lebih kurang 2.9 batu nautika di perairan Tg. Sepat, Selangor, dilaporkan pada jam 5.25 petang. Bot yang dikemudi oleh seorang lelaki dan anaknya, warga tempatan itu karam akibat cuaca buruk.
Anak mangsa, Mohd Farizal bin Abdul Rahman, 40, diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran dan beliau memaklumkan ayahnya telah hilang bersama bot.
Farizal berkata, beliau dan bapanya keluar ke laut pada jam 7.00 pagi untuk mencari udang. Mangsa yang hilang, Abdul Rahman bin Mat Kasim,66, kali terakhir dilihat memakai t-shirt dan seluar berwarna hitam. Pencarian dilakukan dengan keluasan 50 batu nautika persegi yang melibatkan aset Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).