MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS RAMPAS RM1.6 JUTA GANJA

LANGKAWI, 3 September - Maritim Negeri Kedah dan Perlis (MNKP) dengan kerjasama Sahabat Maritim yang terdiri daripada nelayan setempat telah berjaya merampas sebanyak 537kg ketulan ganja mampat bernilai lebih kurang RM1.6 juta dalam satu ‘Op Eagle Eye’  di kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong dekat sini pada 31 Ogos Isnin lepas.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, berkata bungkusan dadah yang cuba diseludup masuk dipercayai dari negara jiran telah dirampas oleh sepasukan penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam ‘Op Eagle Eye’ yang merupakan operasi khas yang dilaksanakan oleh agensi ini untuk mematahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menerusi hasil pengumpulan maklumat dan intipan selama beberapa minggu yang lepas.

“Sejurus menerima maklumat mengenai lokasi penemuan bungkusan yang disyaki dadah,  sebuah Bot Petir Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Eagle Eye telah digerakkan ke lokasi tersebut dan pada jam lebih kurang 9.30 pagi kesemua bungkusan ketulan Ganja mampat telah berjaya ditemui dalam keadaan berapung. Ketulan Ganja mampat yang dirampas dianggarkan seberat sekilogram setiap satu itu terapung di dalam 14 bungkusan besar yang terdiri daripada 12 bungkus plastik hitam dan dua bungkus plastik putih yang telah terkoyak dan beberapa ketulan yang di syaki ganja dilihat bertaburan di atas air”. katanya mengulas lanjut.

Beliau menjelaskan pihaknya melancarkan Op Eagle Eye susulan mendapat maklumat akan berlakunya penyeludupan dadah dalam waktu terdekat menerusi perairan ini. Dipercayai kaedah yang digunakan merupakan salah satu taktik penyeludup memandangkan dalam beberapa siri tangkapan yang membabitkan rampasan Ganja, Syabu dan Ketum di perairan Kedah dan Perlis sebelum ini, juga menggunakan taktik yang serupa bagi mengelak daripada dikesan dan ditahan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik mereka ini telah dapat dihidu susulan daripada rampasan 5kg Syabu bernilai RM 769,000 di perairan Langkawi pada 15 Julai lalu. Kemudian pada 27 Julai MNKP berjaya menangkap lima orang warga Indonesia dan merampas Ganja seberat 230kg bernilai RM700,000 di kedudukan 40 batu nautika Pulau Rebak Besar Langkawi dan, pada tahun ini Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 1.6 tan Ketum dalam 5 siri rampasan bernilai keseluruhan RM 87,000.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas sepanjang tahun ini ialah 5kg Syabu dan 767kg Ganja dengan nilai keseluruhan RM 3.1 juta, yang mana kes tangkapan ganja pada kali ini merupakan rampasan dadah terbesar bagi MNKP pada tahun ini.

Kesemua ganja yang ditemui itu dibawa ke Jeti MNKP di Bukit Malut dan diserah kepada pegawai penyiasat MNKP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia menerusi Maritim Negeri Kedah dan Perlis melahirkan setinggi penghargaan atas kerjasama komuniti nelayan dalam membanteras aktiviti jenayah di laut dan berharap kerjasama sebegini dapat dipertingkatkan lagi agar perairan negara kita sentiasa selamat dan bersih daripada jenayah. Sebarang aduan atau berkaitan aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Aset-aset Maritim Malaysia ketika ini masih terus terlibat di dalam Op Benteng dengan jumlah aset sepertimana yang diarahkan bagi mengekang kemasukan migran ke negara ini melalui pintu masuk sempadan yang tidak diwartakan.

5737a5c0 b559 43b5 96ba 75d56f085777    6afff984 a33e 4386 bc9f b0b1d0d8bcdc 
     
1ded1ae4 c9fc 42e6 8237 178d37c817f5   9ca88ce6 8169 436a b1ec 0b31471b4509