OP BENTENG: MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS TAHAN LIMA SUSPEK WARGA INDONESIA CUBA SELUDUP GANJA

LANGKAWI, 27 Julai - Maritim Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan lima suspek warga Indonesia yang  disyaki cuba menyeludup ganja seberat 230kg yang dianggarkan bernilai RM 700,000 menerusi Operasi Benteng pada sabtu lepas.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, kejayaan operasi kali ini adalah hasil pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang telah mengesan dua bot pada 11.30 malam di kedudukan 40 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar bergerak ke Perairan Langkawi.

"Maklumat yang diperolehi telah disalurkan kepada bot ronda dan bot pemintas Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Langkawi hingga ke Pulau Perak.

“10 minit kemudian, kedua-dua bot Maritim Malaysia tersebut berjaya menjejaki  dan menemui  dua bot kayu dalam keadaan bergelap di kedudukan 40.4 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah.

Ketika anggota-anggota penguatkuasa menghampiri mereka untuk melakukan pemerikasaan di atas kedua-dua bot tersebut mereka melarikan diri yang menyebabkan berlakunya situasi kejar mengejar.

Mereka telah mencampakkan  beberapa bungkusan besar  ke laut dan salah satu bot Maritim Malaysia berjaya memungut empat bungkus guni besar.

Manakala sebuah lagi bot ronda Maritim Malaysia mengejar dua buah bot tersebut dan pada jam 11.50 malam, kedua-dua bot suspek berjaya  ditahan  berhampiran  41 batu nautika barat daya Pulau Beras Basah”, katanya mengulas lanjut.

Hasil pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati terdapat dua orang lelaki dewasa di dalam bot pertama sementara dalam bot kedua  menemui tiga orang lelaki dewasa bersama dua guni besar.

Kedua-dua buah bot tersebut ditunda ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Selepas pemeriksaan lanjut mendapati lima orang lelaki yang ditahan disyaki warga negara Indonesia bersama enam guni besar disyaki ganja dan sebuah telefon bimbit.

Kesemua tahanan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati. 

Kesemua mereka juga menjalani ujian saringan COVID-19 setiba di jeti APMM Bukit Malut.

Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi  membanteras jenayah di perairan negeri ini dan berusaha untuk  memastikan sindiket penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan khasnya dapat lumpuhkan.

Komuniti Maritim diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

3cfeee7e 4973 42cb 94d5 40a311f7b2ac    637063fb 9438 4a53 a38e ecf2a92cff5e