MARITIM NEGERI PAHANG PATAHKAN CUBAAN PENGEDARAN DADAH

ROMPIN, 30 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang telah merampas dadah bernilai lebih kurang RM61,000.00 dalam satu operasi di Tanjung Gemok Kuala Rompin, pada hari Sabtu, 27 Jun sekitar jam 3.00 petang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Hj Amran bin Hj Daud berkata, “semasa melaksanakan risikan kegiatan pengedaran menerusi OP Makmur di kawasan persisiran Muara Endau, anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan menggunakan Bot Kilat terserempak 4 orang lelaki menaiki sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan yang mencurigakan. Apabila 4 orang suspek terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak cuba melarikan diri tetapi gagal dan berjaya ditahan anggota Maritim Malaysia,” katanya.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa 2 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 15 bungkusan plastik kecil didalamnya dan disyaki dadah jenis syabu (Methamphetamine) dengan anggaran kasar seberat 238.5 gram bersama wang tunai lebih kurang RM3,350.00,” tambah beliau.

“Soal siasat dijalankan ke atas 4 suspek, dan telah membawa kepada penggeledahan di sebuah rumah di Endau Mersing yang mana terdapat tangkapan lain seramai 4 orang lagi di rumah tersebut, membabitkan sejumlah dadah beranggaran 388.85 gram juga disyaki jenis syabu (Methamphetamine) dan heroin beserta sejumlah wang tunai RM600.00”, jelasnya lagi.

Menurut Amran, nilai keseluruhan rampasan merangkumi dadah anggaran kasar seberat 627.35 gram termasuk bot fiber yang dinaiki suspek dianggarkan bernilai RM87,000.00.  Semua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 49 tahun itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya sindiket ini bermula di Johor dan menyeludup masuk ke Pahang menggunakan jalan air untuk pasaran Daerah Rompin. Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi Maritim Negeri Pahang setakat ini”, jelas Amran kepada media.

Maritim Negeri Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari masa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.  Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

 1    2
     
 3    4

 

SUMBER : PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM MARITIM NEGERI PAHANG