DEGIL LANGGAR ZON KAWASAN MENANGKAP IKAN

WhatsApp Image 2020 05 31 at 10.38.36 AM WhatsApp Image 2020 05 31 at 10.12.28 AM

 

PELABUHAN KLANG, 31 Mei - Bot nelayan tempatan dikesan melakukan aktiviti menunda di bawah 5 batu nautika dari pantai ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 3.4 batu nautika barat daya Sg Serdang Besar, Selangor lebih kurang jam 12.15 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, bot nelayan tempatan Kelas B itu ditahan ketika pihaknya sedang melakukan pemantauan di sekitar perairan Sg Serdang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga orang warga tempatan termasuk tekong sedang leka menangkap ikan. Mereka berumur dalam lingkungan 38 hingga 42 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah” ujar beliau.

Tambah Rosli, mereka ditahan bersama ikan campur yang dianggarkan lebih kurang dalam 15 kilogram dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 5 batu nautika serta dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia.