GAGAL AMBIL KESEMPATAN DALAM TEMPOH KAWALAN PERGERAKAN

 

WhatsApp Image 2020 04 28 at 6.41.51 PM 1

 

PELABUHAN KLANG, 29 APRIL - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan KELAS B yang sedang menunda pukat tunda pada jarak 0.5 batu nautika dari Sg Chandong, Pulau Indah, kira-kira jam 10.50 malam kelmarin. 

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohamad Rosli bin Kassim berkata, bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh tekong dan dua orang lelaki warganegara tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 52 tahun.

Rosli memberitahu, bot dan kesemua yang ditahan diiringi masuk ke jeti dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana didapati melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan apabila membuat penangkapan ikan pada jarak kurang dari 8.0 batu nautika. 

''Mungkin mereka menganggap pihak Maritim Malaysia mengambil mudah soal penguatkuasaan memandangkan tidak ramai komuniti maritim yang keluar sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan ini lalu ingin mengambil kesempatan dan jalan mudah mencari keuntungan. Tindakan 'tarik tepi' merupakan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000.00 atau 2 tahun atau kedua-duanya sekali'' ujar beliau.